PENYANYI nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin hari ini menemui Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) di Menara Ilham. Penyanyi bergelar jutawan itu dijangka untuk memberi penerangan kepada MPK berhubung industri muzik negara, keusahawanan dan juga penggunaan media sosial secara umum. Penyanyi berusia 39 tahun itu tiba berpakaian baju kurung moden berwarna biru cair.
MPK yang dipengerusikan Tun Daim Zainuddin ditubuhkan pada 12 Mei lalu untuk memberi nasihat berhubung ekonomi dan kewangan kerajaan. Selain Daim, MPK dianggotai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Hassan Marican dan ahli ekonomi terkemuka, Prof Jomo Kwame Sundaram. Majlis berkenaan mengadakan mesyuarat harian bersama syarikat berkaitan kerajaan, ketua agensi. – Harian Metro
Sebelum ini Dato Siti Sedia menjadi penasihat atau berkongsi idea mewakili warga seni demi membangunkan industri kreatif andai kerajaan baharu pimpinan Tun Mahathir memerlukan khidmatnya. Bagaimanapun, penyanyi yang baru sahaja melancarkan lagu zikir berjudul Cinta Syurga, duet dengan Khai Bahar itu enggan dilantik secara tetap mengisi sebarang jawatan tertentu yang memerlukan komitmen.
“Saya sedia membantu memberikan nasihat kepada kepimpinan baharu untuk perubahan positif dunia seni tempatan. “Tetapi, saya tidak mahu terikat dengan komitmen berjawatan kerana tidak sesuai,” ujarnya ringkas. Siti berkata demikian ketika hadir pada majlis pelancaran Skuad Selebriti Shopee yang diadakan di ibu negara semalam.
Isteri ahli perniagaan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa itu berharap, kebajikan dan keperluan golongan seni harus diberi perhatian sewajarnya pada masa akan datang. “Jika perlu, wujudkan sebuah badan yang tidak mempunyai kepentingan politik bagi menyelaras serta menyelenggara hal-hal berkaitan seni. “Ataupun, persatuan seni sedia ada dinaik taraf fungsi agar lebih efektif dan produktif,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE
Sumber : kuasaviral


0 comments:
Post a Comment